Monday 14 June 2010

Salam Rejab 1431H

Salam Rejab buat semua. Rejab bulan yang mulia, bulan penuh keberkatan...sebenarnya semua bulan adalah mulia kerana semuanya dibawah pengawasanNya dan pentadbirannya. Namun, kita tidak boleh menafikan keistimewaan yang terdapat pada bulan-bulan tertentu berdasarkan yang pernah diberitahu oleh junjungan mulia Rasulullah SAW.

Sabda Rasulullah SAW; Kamu hendaklah memuliakan bulan Rejab, nescaya Allah SWT akan memuliakan kamu dengan seribu kemuliaan pada hari kiamat. Sabda baginda lagi, Bulan Rejab, bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan umatku.

Kemuliaan Rejab dengan malam Isra' Mikrajnya, bulan Syaaban dengan malam Nisfunya dan bulan Ramadhan dengan Lailatul Qadarnya.

Oleh yang demikian, kita ditunjuk ajarkan oleh Rasulullah SAW sendiri dengan amalan-amalan yang boleh dilakukan sepanjang bulan Rejab ini. Antaranya ialah banyakkan berdoa,amalan berpuasa dan juga bersedekah.

Amalan pada Bulan Rejab:

1. Doa pada malam 1 Rejab

Dimulakan dengan malam pertama bulan Rejab, kita digalakkan berdoa pada malamnya dengan doa yang bersungguh-sungguh., kerana malam ini dikatakan malam yang mustajab doanya. Dan pada setiap malam Rejab, banyakkanlah berdoa dan beristighfar (mohon ampun) kerana sesiapa yang berdoa dan memohon ampun sebanyak 70 kali dan 100 kali pagi dan petang pada bulan Rejab maka Allah akan haramkan tubuhnya dari api Neraka

2. Berpuasa

Seterusnya diikuti dengan puasa sunat pada keesokan harinya dan hari-hari seterusnya. Dikatakan bahawa puasa tiap hari pada bulan Rejab dan tiap satu sedekah, menyamai dengan seribu ibadat haji dan umrah.

Sesiapa yang berpuasa di bulan Rejab, maka Allah akan berseru padanya; Telah wajib hakmu ke atasKu, maka mintalah olehmu kepadaKu. Demikianlah ketinggian dan kebesaranKu, tidak akan Ku tolak hajatmu, engkau adalah jiranKu, dibawah arasyKu, engkaulah kekasihKu dari segala makhlukKu, engkau terlebih mulia atasKu, sukakanlah kamu dan tiada dinding antara engkau dan Aku.

Sebenarnya terlalu banyak pendapat yang menerangkan tentang kelebihan berpuasa di bulan Rejab ini, namun semuanya tidaklah menjadi keutamaan untuk dihuraikan di sini. Cukuplah sekadar sama-sama kita cuba berkongsi tentang apa yang perlu diamalkan dengan ikhlas. Manakala soal ganjaran daripada Allah, kita serahkan saja kepadaNya.

3. Bersedekah

Bagi orang yang mampu berpuasa, maka sangat digalakkan berpuasa. Manakala orang yang tidak mampu berpuasa, maka bersedekahlah setiap hari walaupun sekurang-kurangnya sekeping roti. Sesiapa yang bersedekah seperti bersedekah seribu dinar, akan ditulis kepadanya setiap helai bulu roma yang terdapat dibadannya seribu kebajikan, diangkat seribu darjatnya dan dihapuskan seribu kejahatan. Bersedekah pada bulan Rejab juga dijauhkan daripada api Neraka, kerana Rejab bulan adalah bulan Allah.


Jika pada bulan-bulan sebelumnya kita sudahpun melakukan amalan-amalan tersebut, maka di bulan Rejab ini, kita cuba perhebatkan lagi amalannya. Lakukan sedikit amalan yang luar dari kebiasaan yang kita lakukan. Jika pada bulan-bulan sebelumnya, kita hanya berpuasa 3 hari setiap bulan, maka bermula bulan Rejab, tingkatkanlah kepada berpuasa setiap Isnin dan Khamis. Jika sudahpun membiasakan diri berpuasa pada Isnin dan Khamis pada bulan sebelumnya, maka tingkatkanlah pada bulan Rejab ini kepada sekurang-kurangnya setiap hari ganjil secara berselang-selang harinya, atau cubalah membuat jadual tersendiri yang lebih baik dari bulan sebelumnya.

Demikian juga dengan semangat bersedekah dan juga beristighfar (berzikir). Tingkatkanlah dari semasa ke semasa. Semoga segala amalan yang kita lakukan dengan ikhlas kerana Allah SWT, benar-benar diterima di sisi Allah SWT. Dan mudah-mudahan kita benar-benar menjadi hambaNya sekaligus kekasihNya. Amin.

Hari ini Rejab datang lagi...ini bermakna tidak lama lagi, bulan puasa bakal menjelma...Jadi, untuk tidak merasa terlalu 'terkejut' dengan kehadiran bulan puasa, mak eloklah sama-sama kita berlatih puasa sempena hadirnya bulan Rejab yang mulia ini....