Friday, 27 November 2009

Mengatasi Kelemahan Pengajaran dan Pembelajaran

Soalan 3
Anda telah ditugaskan untuk mencerap seorang rakan sejawat anda. Semasa pencerapan itu, anda dapati bahawa banyak kelemahan rakan sejawat anda semasa mengelolakan sesi pengajaran dan pembelajaran.
Jelaskan tindakan anda bagi membantu rakan sejawat anda mengatasi kelemahan serta meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajarannya.

Pendahuluan

Pencerapan guru yang bersistematik dan profesional akan dapat menghasilkan satu dokumentasi yang berguna kepada guru dan warga pendidikan secara keseluruhan. Maklum balas dan respons bagi sesuatu aktiviti pencerapan di bilik darjah serta disusuli perbincangan akan dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti tinggi. Pencerapan guru seharusnya akan menjadi wahana pengukuhan kepada pengajaran berkesan yang diamalkan oleh seseorang guru. Dalam konteks yang lebih luas, keberkesanan pengajaran guru di bilik darjah hendaklah saling melengkapi antara pencerapan guru, penilaian kendiri dan maklum balas daripada pelajar.

Tugas mencerap rakan sejawat mengelolakan sesi pengajaran dan pembelajaran sebenarnya banyak manfaatnya untuk menambahbaikkan mutu pengajaran dan pembelajaran seseorang guru, sama ada guru yang mencerap dan juga rakan sejawat yang dicerap. Dari hasil proses pencerapan antara satu sama lain maka suatu penilaian terhadap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan dapat dirumuskan. Selain dari itu satu pelan tindakan dan cadangan yang lebih progresif dapat diperjelaskan.

Bagi seorang guru, maksud pengajaran perlu dan wajib difahami sebelum mereka masuk ke dalam bilik darjah. Pengajaran merupakan satu proses aktiviti yang khususnya disusun untuk membawa perubahan kepada pelajar. Sebagai seorang guru, banyak amalan perlu dilakukan agar pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas menjadi berkesan dan bermakna kepada pelajar. Suasana pembelajaran dan pengajaran guru akan menjadi hambar dan tidak bermakna kepada pelajar sekiranya mutu pengajaran dan pembelajaran tidak berada pada tahap yang memuaskan. Ini adalah kerana pengajaran dan pembelajaran adalah satu proses penyampaian ilmu pengetahuan. Justeru, amalan pengajaran dan pembelajaran yang sempurna dan meyakinkan perlu disi dengan mengutamakan objektif secara jelas, tepat serta mudah difahami. Strategi pengajaran dan pembelajaran perlu dirancang dengan sebaik mungkin supaya matlamat pengajaran tercapai malah pelajar dan guru akan sama-sama berasakan puas setelah tamat satu-satu sesi pengajaran dan pembelajaran.

Manakala pembelajaran pula merupakan suatu proses pengenalpastian tentang sesuatu yang boleh memberikan kefahaman kepada pelajar melalui proses mempelajari sesuatu yang berlaku samada secara formal atau tidak formal. Marton & Booth menyatakan bahawa pembelajaran ialah “learning is about how we perceive and understand the world, about making meaning”. Ini menunjukkan bahawa bentuk pembelajaran boleh merupakan sesuatu prinsip yang abstrak, maklumat serta fakta, pemerolehan kaedah, teknik dan pendekatan untuk melakukan sesuatu serta penaakulan. Oleh itu, pembelajaran adalah perubahan yang berlaku dalam perlakuan pelajar yang di didik hasil daripada penglibatannya dalam suatu pengalaman pendidikan.

Tindakan untuk meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran guru
Untuk memenuhi tujuan meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran agar ia lebih berkesan beberapa pendekatan dan amalan-amalan tertentu untuk membantu guru dalam pengajarannya haruslah diberi keutamaan, antaranya;
1. Mengaplikasi kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan berkesan
Sebenarnya tidak ada satu kaedah yang terbaik untuk semua mata pelajaran bagi semua pelajar dalam semua keadaan. Kaedah harus berubah mengikut keadaan masa, tempat dan pelajar. Dengan demikian, guru harus pandai memilih kaedah yang baik, yang sesuai dengan keadaan masa, tempat dan pelajar.
Berikut adalah sedikit panduan kepada guru sebelum mengaplikasi sesuatu kaedah pengajaran, antaranya ialah:
1. Kaedah mestilah secucuk dengan tujuan dan matlamat pelajaran
2. Kaedah mesti sejajar dengan objektif pelajaran yanghendak dicapai
3. Kaedah juga haruslah sesuai dang tabiat (nature) pelajaran
yang diajar
4. Kaedah mesti sepadan atau setara dengan umur pelajar
5. Kaedah itu mestilah yang boleh atau mampu diaplikasi oleh guru
6. Mempunyai masa yang cukup untuk mengaplikasikan kaedah bekenaan
7. Kaedah yang dipilih mestilah sesuai dengan kemudahan yang sedia ada.

Guru juga boleh memilih kaedah yang boleh memberi kesan yang mendalam bukan sahaja kepada kefahaman pelajar yang diajar, malah yang memberi kesan kepada jiwa dan menyentuh perasaan pelajar. Dengan cara ini pelajar akan memberi tumpuan yang padu dan dapat mengingati pelajaran dengan lebih cepat dan bertahan lebih lama. Untuk mencapai hasrat ini guru haruslah pandai memilih pendekatan yang sesuai dan teknik yang menarik dan ditambah pula dengan Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang canggih dan menarik.
Kaedah pengajaran yang baik ialah yang mempunyai langkah-langkah dan strategi yang tersusun serta objektif yang tepat dan boleh dicapai. Di samping itu, matlamat yang hendak dituju juga mestilah terang dan jelas. Strategi pengajaran ialah satu yang sangat penting dalam setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Setiap pengajaran harus terlebih dahulu disediakan rancangannya dan dalam rancangan pengajaran ini harus mempunyai perkara-perkara berikut, iaitu:
1. Tujuan am (learning goal)
2. Objektif pelajar (specific objective)
3. Langkah-langkah pengajaran yang mengandungi aktiviti-aktiviti tertentu untuk menolong pelajar mencapai objektif pelajaran
4. Perlu ada makanisma untuk memantau kemajuan pelajar
5. Penilaian (sumative evaluation) untuk menguku pencapaian pelajar
Pengajaran dan pembelajaran yang baik, menarik dan berkesan tidak dapat diwujudkan jika tidak memenuhi kriteria tertentu seperti yang dibincangkan di atas. Guru yang mampu menjalankan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan ini ialah guru yang didikasi, mempunyai wawasan yang jelas dan mengajar dengan penuh semangat untuk mencapai objektif yang terancang dengan langkah-langkah yang tersusun dengan menggunakan BBM yang menarik dan dengan pergerakannya yang cukup lincah. Inilah dia guru yang efektif (effective teacher).

Tugas utama seorang guru adalah untuk memudahkan pembelajaran para pelajar. Untuk memenuhi tugas ini, pengajar atau guru bukan sahaja harus dapat menyediakan suasana pembelajaran yang menarik dan harmonis, tetapi mereka juga menciptakan pengajaran yang berkesan. Ini bermakna guru perlu mewujudkan suasana pembelajaran yang dapat merangsangkan minat pelajar di samping sentiasa memikirkan kebajikan dan keperluan pelajar. Justeru sebagai pendidik atau guru, hendaklah berusaha untuk menggunakan pelbagai kaedah dan pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran demi melahirkan pelajar yang kreatif, berani mencuba, rajin dan tekun sebagaimana yang diperlukan untuk melahirkan modal insane yang cemerlang.
1.1. Kaedah Pemusatan Bahan
Proses pengajaran dan pembelajaran boleh dilaksanakan di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah. Apa yang penting kaedah pengajaran yang disampaikan mempunyai arahan yang jelas, tepat dan mudah difahami oleh para pelajar. Kaedah Pemusatan Bahan melibatkan kaedah dan teknik seperti gambar, audio visual, penggunaan computer, penggunaan bahan cetak dan banyak lagi.
1.2. Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran berpusatkan Pelajar
Aktiviti pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar membolehkan para pelajar menumpukan sepenuh perhatian sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Setiap aktiviti yang dilakukan di dalam bilik darjah dilaksanakan dengan penuh bersemangat dan tekun dengan harapan agar segala ilmu yang disampaikan kepada para pelajar akan dapat digunakan sebaik mungkin demi untuk melahirkan para pelajar seimbang dan harmonis seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.


Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar, guru akan menggalakkan pelajar untuk berfikir dan memberikan keyakinan kepada pelajar untuk memberikan jawapan sambil membimbing pelajar untuk memberikan respons yang relevan dengan tugasan ataupun soalan yang diberikan. Setelah para pelajar dapat menjawab segala soalan yang diajukan, penumpuan kepada respons dan jawapan yang mereka berikan secara lisan dapat diberikan. Seterusnya guru juga dapat memberikan panduan untuk pelajar membetulkan dan membuat penambahbaikan terhadap jawapan yang ditulis di papan tulis agar keadaan kelas terkawal dan para pelajar lain tidak terdorong untuk membuat bising sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

Di samping itu guru juga harus memberikan sepenuh perhatian kepada semua pelajar di dalam kelas saya tanpa mengira perbezaan tahap penerimaan mereka. Aktiviti yang berpusatkan pelajar yang dilakukan di dalam bilik darjah boleh dianggap berjaya apabila para pelajar menunjukkan prestasi yang menggalakkan dalam setiap peperiksaan yang diadakan.

1.3. Kaedah hubungan komunikasi dua hala
Hubungan komunikasi dua hala ini yang dimaksudkan ialah hubungan antara guru dengan pelajar. Kemahiran komunikasi merupakan salah satu elemen yang sangat penting dalam tatacara perhubungan guru dengan pelajar. Cronbach (1977), menyatakan kepentingan pemboleh ubah ’ketertiban’ dalam pencapaian guru, sifat peramah dan tingkahlaku guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Hubungan komunikasi di sekolah melibatkan hubungan antara guru dengan pelajar. Guru yang berdedikasi akan mengenali para pelajarnya kerana apabila seseorang guru itu mengetahui tentang latar belakang pelajarnya, setiap permasalahan yang timbul sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran dapat dianalisis oleh guru. Sebagai contohnya, seseorang guru yang amat menitiberatkan tentang hubungan dengan para pelajar dengan sendirinya berjaya mengambil hati para pelajar sekaligus menyebabkan kelas dalam keadaan terkawal sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Dalam proses pembelajaran, kasih sayang, persefahaman dan saling memahami antara guru dan murid amat penting.

2. Mengurus Bilik Darjah dengan berkesan
Untuk memastikan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah setiap guru harus memahami peranannya sebagai pengurus bilik darjah yang baik berasaskan elemen-elemen pengurusan iaitu merancang, mengelola, mengarah dan mengawal. Ini bermakna guru sebagai pengurus bilik darjah memainkan peranan sebagai perancang, pengelola, pengarah dan pengawal. Justeru itu, untuk menjadi pengurus bilik darjah yang berkesan, guru hendaklah memahami elemen-elemen pengurusan bilik darjah serta berusaha menguasai kemahiran-kemahirannya. Antara elemen-elemen yang termasuk dalam bidang pengurusan kelas ialah seperti berikut;

2.1. Kawalan Kelas yang mantap

Demi untuk melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung juga, elemen kawalan kelas yang mantap perlu diwujudkan. Kemahiran mengawal kelas tidak datang secara semulajadi, pelbagai ilmu dan kemahiran diperlukan untuk mewujudkan kawalan kelas yang mantap. Oleh yang demikian, para guru seharusnya berusaha mencuba mencari jalan dan penyelesaian yang terbaik untuk menjadikan para pelajar terkawal semasa proses P & P. Antaranya ialah;

2.1.1. Bilik Darjah mestilah kondusif
Bilik darjah yang kondusif memainkan peranan yang amat penting dalam melancarkan proses P & P. Bilik darjah yang kotor dan tidak dijaga menyebabkan para pelajar merasa tidak selesa untuk belajar dan guru tidak konsisiten untuk mengajar. Oleh yang demikian, dalam usaha mewujudkan kawalan kelas yang mantap, bilik darjah yang kondusif amatlah penting.
Sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran para guru hendaklah terlebih dahulu memastikan persekitaran bilik darjah dalam keadaan bersih dan tersusun. Guru hendaklah memastikan para pelajar dalam keadaan bersedia untuk proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Sekiranya terdapat sampah atau kotoran yang kurang menyenangkan, para guru hendaklah mengarahkan pelajar membersihkannya. Demikian juga dengan susunan meja dan kerusi di dalam bilik darjah hendaklah dalam keadaan tersusun dan teratur. Hal yang demikian mencerminkan para guru mementingkan disiplin diri setiap pelajar dan secara tidak langsung guru telah menyediakan pelajar untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran yang seterusnya.

2.1.2. Konsep Emotional Intelligence.
Antara kaedah pengajaran lain yang dicadangkan untuk menjadikan para pelajar terkawal semasa proses pengajaran dan pembelajaran ialah penggunaan Konsep Emotional Intelligence. Konsep ini dipopularkan oleh Danial Coleman (1995). Terdapat tiga aspek intrapersonal dalam konsep ini iaitu;

2.1.3. Kebolehan mengendalikan emosi sendiri, atau ‘to know your emotions.’
Penerapan aspek ini sangat penting bagi guru dan pelajar. Sebelum memasuki kelas untuk mengajar, guru hendaklah memastikan bahawa dia telah bersedia dari aspek mental dan fizikal dan berharap para pelajar juga bersedia untuk menerima ilmu dan maklumat yang ingin diajar atau disampaikan nanti. Hal ini kerana pengendalian emosi amat penting agar kita dapat mengenali emosi atau perasaan dan keperibadian sendiri. Oleh yang demikian adalah mudah untuk menentukan sasaran dan matlamat yang ingin dicapai.

2.1.4. Kebolehan mengawal emosi
Sebagai seorang guru, kebolehan mengawal emosi amat penting kerana untuk mewujudkan kawalan kelas yang mantap, setiap tutur kata haruslah dijaga supaya tidak menimbulkan rasa kecil hati atau kemarahan para pelajar. Apabila masalah pelajar kecil hati atau tersinggung dengan tutur kata guru, maka akan wujudlah perasaan benci atau memberontak dalam jiwa pelajar dan ini akan mendorong para pelajar terlibat dalam masalah disiplin seperti mengganggu kelas, bising, ponteng kelas dan sebagainya.

2.1.5. Kebolehan mengawal dan mengimbang tenaga, pendirian, desakan dan kepuasan diri.
Penerapan aspek ini dalam diri pelajar adalah penting kerana dengan mempunyai kebolehan ini, mereka dapat mengawal diri dan menetapkan pendirian walaupun terdapat desakan dan pengaruh untuk melibatkan diri dengan gejala negative. Sekiranya seseorang guru dapat memahami perbezaan tahap kebolehan pelajar, ia akan lebih memudahkan lagi guru mengawal para pelajardi dalam kelas semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
Rumusannya, kawalan kelas yang mantap merupakan mekanisme kawalan yang sangat penting dalam memastikan para pelajar dapat memberikan tumpuan yang sepenuhnya di dalam kelas dan seterusnya dapat mengelakkan mereka terlibat dalam masalah disiplin yang boleh menjatuhkan reputasi sesebuah sekolah.

3. Aktiviti Pembelajaran
Tujuan utama mengadakan pengajaran ialah mewujudkan aktiviti pembelajaran. Malah, keberkesanan pengajaran bergantung kepada kebolehan menggunakan kemahiran mengajar yang berjaya memudahkan aktiviti pembelajaran murid. Seharusnya segala usaha pengajaran adalah semata-mata ditumpukan untuk merangsangkan murid supaya menggerakkan mereka belajar. Oleh itu, pengajaran mempunyai dua fungsi utama iaitu merangsangkan pembelajaran dan mewujudkan situasi pembelajaran yang berkesan. Untuk mewujudkan situasi aktiviti pembelajaran yang bermutu para guru haruslah bijak mengaplikasikan perkara-perkara berikut;

3.1. Membekalkan motivasi
Pengurusan kelas yang konvensional atau biasa, beranggapan bahawa pelajar-pelajar mestilah dimotivasikan melalui sesuatu selain daripada kandungan pembelajaran. Ganjaran luar berupa grades/pangkat, pujian, recognition, treats/belanja, dan kebebasan/privilege adalah faktor yang dikenalpasti sebagai prime/ perangsang utama dalam pembelajaran pelajar-pelajar. Sebaliknya, pengurusan kelas yang cemerlang menganggap pelajar-pelajar haruslah dimotivasikan melalui kandungan pembelajaran itu sendiri.
Sebagai contohnya, tugasan Matematik seharusnya menyeronokkan, tugasan membuat karangan seharusnya menarik perhatian, dan pembelajaran yang menggunakan bahasa asing merupakan sesuatu yang mengujakan. Bagi guru dan pelajar yang berkeadaan dalam pengurusan konvensional, matlamat seumpama ini adalah semata-mata tidak praktikal dan adakalanya mustahil. Manakala bagi pengurusan yang cemerlang, perkara ini adalah sebagai keperluan dan asas yang rutin dalam motivasi pelajar. Hal ini sangat berperanan pada kemajuan, perkembangan pelajar selanjutnya melalui proses belajar. Bila motivasi guru tepat mengenai sasaran akan meningkatkan kegiatan belajar. Dengan tujuan yang jelas pelajar akan belajar lebih tekun, lebih giat dan bersemangat.

Pembelajaran hanya berlaku atas usaha sendiri, mengikut motif atau motivasi tersebut. Oleh itu, di dalam bilik darjah tugas pengajaran ialah membekalkan motivasi tersebut sebagai rangsangan untuk menimbulkan minat dan menggerakkan mereka belajar.Disamping itu, segala aktiviti pengajaran adalah ditujukan untuk menghasilkan aktiviti pembelajaran yang berkesan. Dengan perkataan lain, objektif utama pengajaran ialah membawa hasil pembelajaran dengan membentuk perubahan tingkah laku dari satu tahap yang rendah ke suatu tahap yang lebih tinggi.


3.2. Kaedah demostrasi
Pengajaran tidak akan menjadi bermakna sekiranya ia gagal mewujudkan situasi pembelajaran yang berkesan. Sesunguhnya segala pendekatan, strategi, kaedah dan teknik mengajar adalah berlandaskan kepada segala teori dan ciri pembelajaran. Hal ini adalah untuk memastikan bahawa segala usaha pengajaran akan menghasilkan aktiviti pembelajaran dengan berkesan. Justeru itu, kaedah demonstrasi serta strategi pembelajaran seperti strategi pemusatan murid dan bahan adalah berhubung rapat dengan keberkesanan mengurus aktiviti pembelajaran di dalam bilik darjah.

3.3. Aktiviti Pengayaan dan Pemulihan
Aktiviti-aktiviti yang biasanya dijalankan dalam sudut atau ruang pembelajaran ialah aktiviti pengayaan dan pemulihan, aktiviti sokongan, aktiviti bacaan tambahan, perbincangan, bercerita dan aktiviti jual-beli. Disamping itu, ruang-ruang pembelajaran juga digunakan untuk mempamerkan bahan-bahan pelajaran dan hasil kerja atau murid-murid dalam kelas.Dalam kerja pengurusan sudut dan ruang pembelajaran, guru harus memastikan bahawa sudut dan ruang itu adalah dikelolakan dalam keadaan yang kemas dan teratur serta dilengkapkan dengan bahan-bahan pelajaran yang sesuai digunakan oleh murid-murid yang menjalankan aktiviti pembelajaran. Untuk mencapai tujuan ini, guru boleh melantik seorang ketua daripada kumpulan murid untuk membantunya supaya menjaga dan membimbing rakan-rakan sedarjah menggunakan ruang dan sudut pembelajaran dengan cara yang betul.

4. Memahami fungsi-fungsi pembelajaran.
Fungsi-fungsi pembelajaran boleh di huraikan menerusi beberapa prinsip antaranya ialah:-

4.1. Perhatian
Semasa mengajar guru perlu dapat membangkitkan perhatian pelajar kepada pelajaran yang diajarkan oleh guru. Perhatian akan memberi impak yang lebih besar apabila pelajar mempunyai minat dan bakat. Bakat merupakan suatu keperibadian yang telah dipunyai oleh seseorang pelajar sejak kecil lagi namun ianya dapat berkembang kerana pengaruh pendidikan dan persekitaran. Perhatian dapat ditimbulkan secara langsung kepada pelajar kerana mereka sudah tahu tujuan dan kegunaan mata pelajaran yang diperolehinya. Manakala perhatian secara tidak langsung yang baru dapat dirangsang menerusi kaedah pengajaran yang menarik, ransangan untuk berfikir serta menghubungkan pengetahuan yang telah dimiliki. Apabila pelajar mempunyai perhatian di dalam kelas, maka dengan mudah pelajaran yang diajarkan dapat diterima, dihayati, diolah sehingga pelajar tersebut mampu menghubungkan antara suatu pengetahuan dengan pengetahuan yang lain.

Oleh yang demikian, menarik perhatian pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran diperlukan supaya guru dapat mengawal keadaan bilik darjah dengan baik dan melahirkan pelajar-pelajar yang dapat memberikan perhatian di dalam sesuatu perkara yang penting dalam hidup mereka khususnya pembelajaran akademik di dalam kelas.


4.2. Aktiviti
Dalam proses mengajar pelajar, guru perlu melakukan aktiviti samada berfikir mahupun melakukan atau melaksanakan sesuatu aktiviti. Hal ini mampu memberi kesan yang baik kepada pelajar itu sendiri iaitu ilmu yang diajarkan tidak berlalu begitu sahaja tetapi dapat difikirkan, diolah kemudian dikeluarkan dalam bentuk yang berbeza. Melalui aktiviti juga membolehkan pelajar bertanya, mengajukan pendapat serta melakukan perbincangan dengan guru serta mematuhi arahan guru yang mengajar, melaksanakan tugas, membuat grafik, diagram serta maklumat yang diberikan oleh guru. Apabila pelajar terlibat secara aktif dalam aktiviti maka pelajar lebih mudah memiliki dan menggunakan ilmu itu dengan baik. Justeru, aktiviti perlu dilaksanakan dan diberikan perhatian dalam memastikan fungsi pembelajaran digunakan sepenuhnya agar tumpuan pelajar dapat dikumpulkan pada satu titik fokus utama. Dengan ini, akan lahirlah pelajar yang kreatif menggunakan ruang dan peluang yang ada untuk diaplikasikan dalam kehidupan mereka seharian.

4.3. Integrasi
Menghubungkan pembelajaran yang baru dengan pengetahuan atau pengalaman yang sedia ada dapat menjadikan pelajar berfikir dengan kreatif dan kritis. Proses ini akan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar serta membantu pelajar untuk memerhatikan pelajarannya dengan lebih baik.

Hal ini sedikit sebanyak melahirkan pelajar-pelajar yang dapat mengadaptasikan pengetahuan yang mereka pelajari di dalam bilik darjah dengan kehidupan sebenar mereka diluar khususnya dalam menghadapi cabaran-cabaran kehidupan mereka di masa-masa yang mendatang.
Semua pelajaran yang diberikan kepada pelajar perlu diintegrasikan, sehingga pelajar memiliki pengetahuan bersepadu iaitu tidak terpisah-pisah. Kebiasaannya, pelajar hanya menerima proses pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan oleh guru sahaja seandainya guru tersebut tidak menggunakan teknik dan kaedah yang bersesuaian dalam mengajar. Namun yang demikian, guru seharusnya memainkan peranan mengajar dan menghubung kaitkan diantara sesuatu topik dengan topik yang lain yang berkaitan agar para pelajar peka dan memahami serta dapat mengaplikasikannya dengan baik. Hal ini dapat menjamin penguasaan pelajar di dalam proses pembelajaran serta memberikan ruang untuk guru menggunakan kawalan yang minima di dalam kelas kerana pelajar itu sendiri sudah terdorong untuk fokus atau memberikan tumpuan disepanjang proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Oleh yang demikian, guru perlu kreatif semasa mengajar supaya proses pembelajaran dapat dikaitkan antara satu konsep dengan satu konsep yang lain yang berkaitan agar minat pelajar dapat mendorong mereka menjadi pelajar yang berkeyakinan dan berjaya di dalam kelas dengan mengintegrasikan pengetahuan yang baru dan sedia ada.

Mata pelajaran yang diajar di sekolah seharusnya diintegrasikan berpadu menjadi suatu ilmu yang bersepadu. Pelajaran yang dipelajari bukan sekadar pengetahuan dalam bilik darjah sahaja, bahkan bermanfaat di luar kelas serta dalam kehidupan seharian mereka. Pelajaran di sekolah perlu dihubungkan dengan kehidupan nyata dalam masyarakat. Pengetahuan sedia ada pelajar dapat mengukuhkan kefahaman pelajar di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Aspek kemasyarakatan tidak boleh dipandang remeh oleh guru.

Dalam norma ketamadunan manusia, setiap individu pasti akan menghadapi, mendepani, berinteraksi dan bergaul dengan masyarakat di sekeliling mereka.Oleh itu, guru sangat berperanan di dalam menyelitkan unsur dan pendidikan yang bercorakkan masyarakat. Guru bukan semata-mata mengajarkan sesuatu mata pelajaran tetapi juga mendidik pelajar khususnya dalam menyesuaikan diri di dalam masyarakat. Namun, perlu diingat bahawa, elemen kemasyarakatan mestilah berbudaya atau bercorakkan masyarakat.

Oleh itu, guru sangat berperanan di dalam menyelitkan unsur dan pendidikan yang bercorakkan masyarakat. Guru bukan semata-mata mengajarkan sesuatu mata pelajaran tetapi juga mendidik pelajar khususnya dalam menyesuaikan diri di dalam masyarakat. Namun, perlu diingat bahawa, elemen kemasyarakatan mestilah berbudaya atau bercorakkan masyarakat setempat agar penerapan yang dilakukan oleh guru dapat diterima oleh pelajar dan ibubapa mereka serta masyarakat di sekitarnya.Dengan mengaitkan elemen pendidikan di dalam bilik darjah dengan kehidupan nyata di dalam masyarakat, para pelajar dapat membuka ruang untuk diri mereka sendiri merasai dan menghayati pendidikan yang sedang diajarkan oleh guru mereka. Ini adalah kerana pelajar itu sendiri biasanya sudah memiliki pengetahuan asas dalam kehidupan mereka, hanya mereka kurang berkemampuan untuk mengaitkan antara proses pembelajaran atau ilmu pengetahuan yang mereka peroleh dengan kehidupan sebenar di luar sana. Justeru, perkaitan yang terbina di dalam kelas dengan menghubungkaitkan pembelajaran di dalam kelas dengan kehidupan masyarakat setempat dapat menjadikan agen kawalan bagi guru di dalam proses pembelajaran di dalam kelas.


4.4. Pengulangan
Tidak semua pelajar mempunyai tahap yang sama di dalam proses mengingati tentang sesuatu pembelajaran yang diajarkan kepada mereka. Oleh itu, pembelajaran yang dibantu ulang untuk proses mengingati diperlukan untuk memberikan tanggapan yang lebih jelas dan tidak mudah dilupakan. Perkara ini boleh dinyatakan apabila kita mengulang dengan cara dan kaedah yang baik di dalam bilik darjah, semakin lama ia akan menjadi semakin jelas sehingga dapat digunakan oleh pelajar untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul. Pengulangan secara teratur, pada waktu-waktu yang tertentu atau setelah setiap topik itu diberikan, maka ia sangat membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Hal yang demikian memberikan pengetahuan kepada pelajar bahawa pengulangan merupakan suatu proses pendidikan yang mereka boleh aplikasikan dalam kehidupan mereka. Ini menjadikan bahawa proses pengulangan adalah suatu konsep bagi fungsi pembelajaran itu sendiri.



4.5. Sosialisasi
Dalam diri seseorang pelajar, mereka perlu terdedah kepada pergaulan sosial yang bermanfaat bagi menjadikan diri mereka satu generasi yang mampu menjadi kebanggaan bagi sesebuah masyarakat, bangsa, negara dan agama. Ini adalah kerana, pelajar merupakan individu yang mempunyai segi sosial yang perlu diperkembangkan. Dengan itu, adalah suatu kebaikan jika para pelajar diberikan ruang dan peluang untuk menjalankan aktiviti bersama-sama dengan rakan sekelas mereka supaya pergaulan sosial dapat dipelajari secara tidak langsung melalui aktiviti berkumpulan bersama-sama rakan mereka di dalam kelas. Perkara ini dengan sendirinya dapat melahirkan pelajar-pelajar yang saling bekerja sama antara satu sama lain, saling bergotong royong dan saling tolong menolong. Penerapan sosialisasi ini dapat membuka pemikiran pelajar bahawa banyak permasalahan tidak dapat diselesaikan secara bersendirian tetapi boleh diselesaikan dengan bantuan orang lain. Selain itu, bekerja di dalam satu pasukan juga mampu meningkat cara pelajar itu berfikir sehingga dapat memecahkan masalah dengan baik dan lancar. Oleh yang demikian, sosialisasi atau pergaulan sosial dapat terbina dan menjadikan pelajar mampu untuk mengaplikasikan kewibawaan untuk menempatkan diri di dalam masyarakat kelak.

Oleh yang demikian, melalui beberapa prinsip yang dinyatakan diatas dapat memberikan gambaran bahawa perhatian, aktiviti, integrasi, pengulangan dan sosialisasi dapat menjadi satu fungsi pembelajaran efektif yang berperanan bagi pendidik dalam menguruskan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

5. Menghayati syarat-syarat pengajaran dan pembelajaran yang efektif

Untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang efektif memerlukan syarat-syarat yang berikut:

5.1. Variasi method pengajaran

Semasa belajar, pelajar harus mengalami aktiviti mental. Misalnya pelajar dapat mengembangkan kemampuan intelektualnya, kemampuan berfikir secara kritis, kemampuan menganalisis, kemampuan mengucapkan pengetahuannya, manakala guru harus menggunakan banyak method pada waktu mengajar.

Variasi method mengakibatkan penyajian bahan pelajaran lebih menarik perhatian pelajar, mudah diterima pelajar, dan kelas menjadi hidup. Kaedah persembahan yang selalu sama akan membosankan pelajar.

5.2. Menimbangkan perbezaan individu (pelajar)

Semasa proses pengajaran dan pembelajaran, guru juga perlu menimbangkan perbezaan individual antara pelajar. Terdapatnya perbezaan bakat dan kebolehan di antara pelajar yang perlu diuruskan dengan baik di dalam bilik darjah. Perbezaan bakat dan kebolehan antara pelajar di dalam sesebuah kelas di mana terdapat kecekapan dan ketangkasan pelajar berbeza secara individual.

Ada di antaranya yang cerdik dan cerdas sehinggakan mampu untuk menerima dengan cepat ilmu pelajaran yang disampaikan kepadanya. Tahap ini merupakan tahap keboleh-penerimaan yang tinggi. Namun, perlu diingat bahawa masih ramai pelajar yang mempunyai tahap keboleh-penerimaan yang biasa dan rendah. Disebabkan tahap keboleh-penerimaan yang berbeza-beza ini menyebabkan guru yang terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas perlu menyeimbangkan kaedah, skop serta aktiviti pembelajaran agar semua pelajar yang mempunyai tahap penerimaan yang berbeza dapat mengikuti pembelajaran dengan baik. Dengan cara ini, ianya dapat mengembangkan kemampuan-kemampuan pelajar secara individual.

Sebagai contoh, pelajar yang mempunyai tahap keboleh-penerimaan yang tinggi hanya perlu mendapat penerangan yang lebih ringkas kerana pengetahuan sedia ada serta kebolehan memahami yang cepat. Ini berbeza dengan pelajar yang berada pada tahap sederhana dan rendah yang memerlukan lebih penerangan dan kaedah yang lebih mudah difahami supaya mereka dapat mengikuti memahami pelajaran dengan baik. Oleh yang demikian, perbezaan individual perlu dipertimbangkan agar guru dapat menggunakan teknik dan kaedah yang sesuai untuk semua pelajar dan memberi peluang sama rata kepada pelajar untuk mendapat ilmu pengetahuan yang diajarkan.

5.3. Perencanaan sebelum mengajar

Dalam memastikan sesuatu pembelajaran dapat dilakukan dengan baik, maka sebuah perencanaan perlulah dilakukan oleh guru yang mengajar supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilakukan dengan lancar. Ini dapat dilihat dari sudut perencanaan yang terperinci dengan turutan perencanaan tersebut sebagai alat rujukan. Perencanaan sebelum mengajar perlu mempunyai objektif, teknik dan kaedah yang akan digunakan semasa, serta penanda aras kefahaman para pelajar terhadap penguasaan sesuatu topik pengajaran dan pembelajaran.

Dengan persiapan mengajar, guru akan mantap di hadapan kelas, perencanaan yang matang dapat menimbulkan banyak inisiatif dan daya kreativiti guru sewaktu mengajar serta dapat meningkatkan interaksi belajar dan mengajar antara guru dan pelajar.

Dengan adanya perencanaan sebelum mengajar ini, ia bukan sahaja memberikan suatu kemudahan kepada guru untuk mengajar dan mendidik dalam proses pengajaran dan pembelajaran, malah pelajar turut mudah mengikuti dan memahami pembelajaran yang diajarkan oleh guru tersebut. Perkongsian pemudahcara yang dilakukan oleh guru sebelum mengajar ini mampu memberikan kesan yang lebih baik serta lancar kepada proses pengajaran dan pembelajaran.

Oleh yang demikian, perencanaan sebelum mengajar adalah penting supaya para guru mempunyai satu rujukan yang jitu mengikut kebolehan guru dan pelajar yang diajarkan supaya ilmu yang ingin disampaikan dapat diajarkan oleh guru dengan baik dan pelajar dapat menerima ilmu tersebut dengan baik juga mengikut objektif-objektif, teknik dan kaedah serta penilaian yang dilakukan terhadap pelajar. Pada penyajian bahan pelajaran pada pelajar, guru perlu memberikan masalah-masalah yang boleh merangsang pelajar untuk berfikir.

5.4. Penyediaan bahan pengajaran

Semasa proses pengajaran di dalam kelas, guru sememangnya perlu menyediakan kaedah-kaedah dan teknik mengajar dengan berkesan supaya pelajar dapat mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih baik serta menerimanya sebagai sebuah bentuk pengajaran yang menarik.

Namun yang demikian, dalam menjadikan sesebuah kelas lebih menarik serta memberikan rangsangan minda pelajar, guru seharusnya menyediakan bahan pengajaran yang mampu memberikan permasalahan yang boleh menyebabkan pelajar berfikir serta merangsang daya kreativitinya untuk menyelesaikan permasalahan tersebut. Dengan cara ini, pelajar bukan sahaja menerima pembelajaran secara pasif, tetapi juga dapat terlibat aktif secara rangsangan berfikir dalam mengikuti kelas yang dilakukan oleh guru. Semasa belajar, pelajar seharusnya mengalami aktiviti mental seperti pelajar dapat mengembangkan kemampuan intelektualnya, kemampuan berfikir secara kritis, kemampuan menganalisa dan kemampuan mengucapkan pengetahuannya disamping mengalami aktiviti jasmani seperti mengerjakan sesuatu, menyusun intisari pelajaran, membuat peta dan lain-lainnya.

Hal ini secara langsung menjadikan pelajar tersebut memberikan fokus kepada proses pengajaran yang berlangsung dan guru mampu mengawal proses pembelajaran di dalam kelas dengan lebih baik dengan menjadikan permasalahan yang diberikan sebagai pokok utama pengurusan guru di dalam bilik darjah.

Kesimpulan
Pengajaran dan pembelajaran yang berkesan membawa impak yang besar kepada guru dan juga pelajar. Sekiranya proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar pasti segala ilmu yang dicurahkan oleh para guru akan dapat diadaptasikan oleh para pelajar. Demi mencapai matlamat Kementerian Pelajaran Malaysia, diharapkan beberapa tindakan yang dicadangkan di atas dapat membantu dalam melahirkan modal insan cemerlang, berminda kelas pertama dan bebas dari kelemahan disiplin dan gejala yang tidak sihat.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment